22 June 2009

~pergilah kasih~

“Ayah jangan tinggalkan Qis. Qis perlukan ayah. Qis sayang ayah”, Balqis merayu penuh pengharapan. Kedatangan yang entah ke berapa kalinya ini untuk menjenguk ayah yang sekelian kalinya telah lama melepaskan tanggungjawabnya ternyata membuka kembali episod tragis yang meragut nyawa ibu tercinta. Dia ingin melepaskan rindu yang menekan jiwanya saban hari. Sudah kerap kali kakinya melangkah ke rumah yang penuh nostalgia ini, namun tidak pernah dia bertemu pandang dengan ayahnya. Dia bersyukur tak terhingga kerana hasrat hatinya termakbul jua walau telah ditegah oleh Datin Anisah. Dia terus memaut erat kaki ayahnya yang cuba melarikan diri dari bertemu muka dengannya. Benci sungguh ayahnya menatap wajah polos ini.

Harapan untuk terus menatap wajah ayahnya lagi apabila matahari esok menyinar menampakkan cahaya penghidupan kelihatan terlalu jauh untuk digapai. Masih adakah lagi peluang untuknya? Dendam ayahnya masih belum padam. Malahan semakin membara membakar kasih yang didambakan. “Izinkanlah Qis bertamu dihati ayah walau untuk sedetik ini sahaja.”, pintanya lirih. “Aku tak pernah ada anak, persetankan angan-angan kosong kau itu sial! Jangan pernah kau panggil aku ayah. Kau pembunuh isteri aku. Matilah kau kali ini”, tengking Hakimi memuntahkan amarahnya.
Tanpa diduga, sepakan kuat menerjah perut kecilnya. Dia terundur ke belakang, memegang perut yang dirasakan senak. Bahu dan kakinya merasa penangan yang sama. Rambutnya ditarik kasar. Badan yang sedia lemah dipaksa bangun menghadap wajah bengis itu. Pipinya menjadi sasaran tangan kasar ayahnya. Tamparan demi tamparan hinggap di pipi putihnya. Dibiarkan kepalanya mencium dinding konkrit yang sekeras hati ayahnya. Darah yang mengalir dari dahinya tidak mampu melembutkan hati batu itu. Tergamak dendam dibiarkan menguasai jiwa sehingga terus-terusan menyakitinya. Sakit yang ditanggungnya ketika itu tidak dapat menandingi luka yang semakin berdarah dihatinya.

Dia tidak pernah meminta dilahirkan di dunia ini. Dia tidak meminta nyawa arwah ibunya menjadi taruhan untuk melahirkannya. Andai itu dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi syurga, derita menjadi nikmat dan kasih melenyapkan kebencian, dia rela diperlakukan sedemikian rupa. Lelaki yang sarat dengan kebencian itu berlalu pergi dengan hati yang puas. Tidak diambil peduli mata-mata tetangga yang menyoroti langkahnya. Perilaku manusia yang diibaratkan seperti haiwan menjadi kebanggaannya.

Pandangannya kian kabur mengiringi setiap langkah penderitaan yang dibiarkan mengalir lesu di segenap urat nadinya. Tidak terluah dek kata-kata tatkala hatinya merintih pilu selebat hujan yang membasahi bumi gersang itu. Empangan matanya pecah jua walau telah digagahinya untuk tidak membiarkan rasa simpati terus bermukin di hati mereka yang mengasihaninya. Terhinggut-hinggut badannya menahan esak yang kian berlagu di pendengaran telinga orang-orang di sekelilingnya. Dia yakin mereka sedang menangisinya dalam diam. Dia pasti mereka sedang menghakiminya dalam menghitung langkah terakhir pemergian seorang lelaki yang tidak selayaknya digelar ayah. Dia pasrah. Inilah pengakhiran epilog kasih sayang yang tak pernah kesampaian. Sebesar zarah pun tidak pernah dia merasa ungkapan agung itu. Seandainya alam bisa mendengarnya, ingin dilaunginya dan mengatakan bahawa dia terlalu sayangkan ayahnya. Biar seluruh dunia tahu rasa hatinya.

Puteri Balqis Nurqistina bangkit dengan penuh kepayahan. Dipandang sayu rumah itu lalu terus mengorak langkah tanpa menghiraukan panggilan yang semakin kuat menempan pendengarannya. Dibiarkan berlalu sepi, sesepi hatinya ketika itu. Dibiarkan hujan mengalirkan arus ketenangan bagi menyuntik semula semangatnya yang terbang entah ke mana, menyucikan darah yang membuktikan kedayusan seorang ayah. Langkah yang disusun ternyata tampak lemah dan longlai pada pandangan Datin Anisah. Pilu hati tuanya menyaksikan adegan sebabak tadi. Dia berjalan pantas menyaingi gadis yang telah dianggap sebagai anaknya itu. Nasibnya baik kerana sempat menyambut badan Balqis sebelum jatuh menyembah bumi. Dipeluk erat tubuh langsing itu. Diselami derita yang setia menghuni jiwa itu sejak 19 tahun lalu.
Mutiara mengalir lesu mencemari wajah tua itu seiring dengan hujan yang semakin mengganas membasahi bumi. Hatinya dipagut sayu mengenangkan liku-liku hidup yang ditanggung anak kecil itu dengan hanya berbekalkan kebencian ayahnya. Anak itu ketandusan kasih sayang seorang ayah. Dia memandang redup ke seluruh wajah ayu Balqis. Kasihnya jatuh tertumpah pada gadis malang itu sejak dia kehilangan ‘ibu’ yang tergadai nyawa bagi membolehkan zuriatnya merasai keindahan dunia.

Matanya yang bundar kelihatan merah dan bengkak akibat terlalu kuat menangis. Tiada sinar bahagia yang terpancar dari mata itu. Hidung mancungnya kerap kali menahan cecair dari terus mengalir keluar. Walau diamuk badai yang melanda, bibir mungil yang pucat itu masih sempat mengukir senyuman manis kepada wanita yang sentiasa menjadi tulang belakangnya. Wanita yang pernah menjadi sahabat baik ibunya. Wanita yang sehingga kini masih setia menyelam derita bersamanya. Dicium penuh kasih pipi yang semakin mencengkung itu. Diusap lembut dahi luka itu. Tersayat pilu hatinya apabila memandang luka yang memperlihatkan kekejaman seorang manusia yang begitu tegar mencederakan darah dagingnya sendiri. Air mata Datin Anisah semakin laju mengalir apabila melihat badan Balqis yang menggigil kesejukan sambil mengerang kesakitan. BIbir gadis itu bergerak-gerak mengucapkan sesuatu yang tidak dapat didengarnya. Dia menggoncang badan itu seraya menjerit meminta tolong.
Seluruh badannya terasa berbisa. Tidak mampu digerakkan walau seinci. Perlahan-lahan matanya dibuka. Merasakan dirinya berada di tempat asing. Tekak yang perit minta diisikan air. Dia cuba menggapai gelas di meja sebelah. Datin Anisah yang menyedarinya terus menyuakan gelas ke mulutnya. Ditelan dengan payahnya. Balqis menjatuhkan pandangannya ke segenap bilik yang menempatkannya. ‘Mungkin aku berada di hospital. Melihatkan tiub yang berselirat dibadannya, skrin monitor yang tidak henti-henti menunjukkan bacaan nadinya.’ desis hati kecilnya. Dia memicit-micit kepalanya yang dirasakan berdenyut-denyut. Sakit yang selalu dialaminya dibiarkan. Dia sudah lali. Dia sedar dia tidak mampu bertahan lama.
Esakan kecil kedengaran. Dia berpaling memandang wajah keibuan itu. Ditatap penuh kasih. Sekilas pandangannya jatuh pada ‘papa’ yang setia menemani ‘umi’. Dia meraih tangan tua itu lalu digenggamnya. Tiada niat untuk melepaskannya. Hanya wanita ini yang sanggup menongkah badai bersamanya, yang bersusah payah membesarkannya sejak dari dia lahir lagi, yang tulus mencurahkan kasih tanpa had sempadan, yang sudi mengisi kekosongan jiwanya, yang bergadai nyawa mempertahankan maruah dan haknya. Segunung emas sekalipun tidak mampu membalas jasa umi yang terlalu tinggi nilainya.

“Sampai hati Qis buat umi mcm ni. Qis tanggung semua seorang diri. Tidak sudikah Qis membiarkan kasih Qis bernadi di hati ini lebih lama lagi? Qis tak sayangkan umi ye?”, luluh hati Balqis demi mendengarkan kata-kata uminya. Kini barulah dia mengerti erti tangis itu tadi. Dia tersenyum. Senyuman yang entah bila akan terus menyembunyikan seribu kedukaan. Dikucup syahdu tangan uminya. Nafas yang tidak teratur cuba dikawal seadanya agar tidak kelihatan cacat di pandangan. “Ampunkan dosa Qis dari terbitnya matahari yang menyambut kelahiran Qis dahulu, hingga tertimbusnya tanah menutupi jasad Qis kelak. Qis tak sanggup menyusahkan umi lagi. Umi terlalu baik, tidak sepatutnya derita ini terpalit pada umi. Walau lumat sekalipun badan ini, ingatlah bahawa kasih umi akan sentiasa bertakhta di hati ini. Akan Qis pastikan ianya tersemat kukuh sampai bila-bila.”, dia mengungkapkannya dengan tenang sambil menepuk-nepuk lemah dadanya.

Matanya kian tertutup lemah meninggalkan pandangan sepi disegenap ruang hati uminya. Membiarkan deritanya bearak pergi bersama awan mendung. Membiarkan penyakit leukimia yang ditanggung sejak 6 tahun lalu berakhir bersama keperitan hidupnya. Membiarkan kasih yang tak kesampaian tergantung setakat itu saja. Membiarkan hajat untuk mendengar panggilan ‘anak’ terkubur mati begitu saja. Membiarkan tangisan umi yang semakin kuat memenuhi ruang itu. Membiarkan memori duka semalam beralun pergi bersama ombak pantai. Membiarkan semuanya berlalu tanpa berniat untuk berpatah balik.

“Maafkan Qis ayah kerana telah merampas ibu dari ayah”, bisik hatinya pilu sambil berusaha mengucapkan bait-bait dua kalimah syahadah. Tolakan pintu yang kuat dari luar membuatkan dia membayangkan senyuman ikhlas seorang ayah kepada anak yang terlalu dahagakan kasih sayangnya. Namun itu juga tidak bisa mendorongnya untuk terus berjuang bagi menghirup udara segar di bumi yang meninggalkan khazanah silam yang tak mungkin akan lupus ditelan zaman. Denyut nadinya semakin lemah. Tanpa disedari, dia telah meninggalkan 1001 penyesalan yang tergantung dipundak bahu ayahnya diiringi raungan kehilangan. Nasi sudah menjadi bubur. Tangisan keinsafan tidak mampu mengembalikan nyawa puteri hatinya,
Nafas panjang yang dihembus lembut itu mengakhiri ranjau penderitaannya. Bersama kasih yang dibawa angin lalu, dia meninggalkan dunia yang fana. Senyuman masih menghiasi wajah tenang itu. Umi menggogoi suaminya. Sebak didada ditahan sekuat mungkin. Dilepaskan pemergian Balqis dengan redha. ‘Pergilah sayang. Hamparan kasihmu akan segar mewangi di sini.’ bisik hati Hakimi dengan penuh kepiluan.